Thursday 30 August 2018

AKTIVITI BULAN KEBANGSAAN SK DATONG, TAHUN 2018




Sila klik butang 'play' untuk menonton video Sambutan Bulan Kebangsaan Sk Datong

Bagi menghayati ketibaan bulan kebangsaan pada tahun ini, Sk Datong sekali lagi telah menganjurkan Program Sambutan Hari Kebangsaan yang bertujuan untuk menanam nilai-nilai patriotisme dalam kalangan warga Sk Datong khususnya kepada murid-murid sekolah ini. Dalam program ini, terdapat beberapa aktiviti yang telah disusun dan dilaksanakan bagi mencapai  objektif penganjurannya. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan ialah;


1. Senamrobik Kemerdekaan
2. Seribu Langkah
3. Kuiz Kemerdekaan
4. Pertandingan Mewarna Prasekolah

SENAMROBIK KEMERDEKAAN

Program sambutan bulan kebangsaan pada tahun ini dimulai dengan aktiviti senamrobik yang dilaksanakan seawal jam 8.00 pagi bertempat di tapak perhimpunan sekolah. Senamrobik yang dikendalikan oleh guru-guru Sk Datong ini melibatkan keseluruhan warga sekolah iaitu semua guru, anggota kakitangan sekolah, semua murid serta petugas-petugas pembersihan. Senamrobik ini berlangsung selama 40 minit dimana pergerakan-pergerakan disusun bermula daripada pemanasan badan, pergerakan lasak sehinggalah penyejukan badan. Aktiviti yang bersifat riadah ini dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran warga Sk Datong tentang pentingnya penjagaan kesihatan fizikal dan emosi kerana kesihatan adalah modal untuk menjadi warganegara yang unggul. 













Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga Sk Datong atas penglibatan yang amat baik dalam aktiviti ini. Sejurus selesai aktiviti senamrobik, murid-murid dikumpul dan disusun dalam barisan mengikut kelas sebagai persediaan kepada aktiviti yang seterusnya iaitu aktiviti Seribu Langkah.


SERIBU LANGKAH

Aktiviti Seribu Langkah pula telah dilaksanakan di padang sekolah yang mana perarakan ini diketuai sendiri oleh En Henry Masampai (Guru Besar) dan disusuli oleh para guru dan murid. Aktiviti Seribu Langkah ini juga merupakan salah satu usaha untuk mempromosikan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Sk Datong.














Aktiviti Seribu Langkah diteruskan dengan ucapan ringkas sempena bulan kemerdekaan daripada  tuan guru besar dan disusuli oleh perkongsian kisah pendek oleh Cikgu Nazrin berkaitan peristiwa hitam yang pernah berlaku di negara kita semasa penjajahan Jepun. Kisah pendek yang mengerikan tersebut cukup memberi keinsafan dan kesedaran tentang betapa perlunya menghargai dan memelihara kemerdekaan yang dinikmati di masa ini.




En Henry Masampai menyampaikan ucapan ringkas sempena bulan kebangsaan.


Aktiviti Seribu Langkah ini diakhiri dengan laungan kemerdekaan yang dipimpin sendiri oleh Cikgu Nazrin. Semangat kemerdekaan yang dizahirkan melalui laungan "MERDEKA" sebanyak 7 kali bergema di setiap pelusuk Sk Datong  diharapkan akan menjadi inspirasi kepada warga Sk Datong untuk terus bersatu-padu  dalam menjaga kemanan negara serta menepis anasir-anasir jahat yang boleh menggugat serta menghancurkan keharmonian yang dinikmati selama ini.





KUIZ KEMERDEKAAN

Bersetuju dengan kata-kata George Santayana yang berbunyi "Mereka yang tidak mempelajari sejarah pasti akan mengulanginya kembali", Sk Datong telah melaksanakan aktiviti Kuiz Kemerdekaan bertujuan untuk mendorong para murid mengingati fakta-fakta sejarah negara ini.

Pelaksanaan Kuiz Kemerdekaan ini telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori Tahap Satu dan kategori Tahap Dua. Kuiz Kemerdekaan bagi Tahap Satu dilaksanakan di bilik darjah tahun satu manakala Tahap Dua bilik darjah tahun  empat. 

Meskipun keadaan cuaca semakin panas menjelang tengahari, kebijaksanaan dan juga kerjasama antara guru-guru Sk Datong dalam membentuk suasana yang menarik membuatkan para murid lebih seronok dan bertenaga sepanjang aktiviti dijalankan.






Syabas diucapkan kepada semua warga Sk Datong. Semoga dengan aktiviti seumpama ini dapat membantu para murid untuk mengingati dan menghargai sejarah negara ini.



PERTANDINGAN MEWARNA PRASEKOLAH

Pada masa yang sama, prasekolah Sk Datong tidak ketinggalan dalam kemeriahan program ini. Sebagai pendedahan awal, kanak-kanak comel ini telah disediakan dengan aktiviti yang bersesuaian dengan peringkat umur mereka iaitu pertandingan mewarna. Pertandingan ini dilaksanakan di bangunan prasekolah. 



"Melentur buluh biarlah dari rebungnya". Semoga dengan aktiviti sebegini sedikit sebanyak dapat menanamkan bibit-bibit patriotisme dalam diri kanak-kanak ini yang akan bercambah dan bertumbuh sesuai dengan peningkatan usia mereka agar lahirlah generasi yang unggul di masa hadapan.


PENYAMPAIAN HADIAH

Penyampaian hadiah bagi pertandingan kuiz kemerdekaan dan juga pertandingan mewarna bagi prasekolah telah disempurnakan pada 03 September 2018 oleh Cikgu Jim Mono (PK Hem) sewaktu perhimpunan mingguan sekolah dijalankan.

Para Pemenang Pertandingan Kuiz Tahap 2
Dari Kiri: Tempat kedua =Audrey (wakil kumpulan), Johan = Daniel (wakil kumpulan), Naib Johan= Saidatul (wakil kumpulan)

Penerima hadiah saguhati Pertandingan Kuiz Tahap 2
Dari kiri: Irwansyah (wakil kumpulan), Poldine (wakil kumpulan)

Pemenang Pertandingan Kuiz Tahap 1
Dari kiri: Johan= Azfiana (wakil pasukan), Naib Johan= Dealony (wakil pasukan), Ketiga= Arfika (wakil pasukan)

Penerima hadiah saguhati Pertandingan Kuiz Tahap 1
Dari kiri: Muzaimi (wakil kumpulan), Jashon (wakil kumpulan), Fauzer (wakil kumpulan)

Penerima hadiah Pertandingan Mewarna Kemerdekaan Prasekolah
Dari kiri: Johan, Naib Johan, Ketiga

Cikgu Floriza cuba menenangkan seorang anak muridnya yang begitu terharu selepas dipanggil naik ke pentas untuk menerima hadiah.

Tahniah diucapkan kepada para pemenang, syabas kepada murid-murid Sk Datong atas penglibatan anda dalam program ini. Setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh warga kerja Sk Datong atas kerjasama menjayakan program ini.


EXTRA: for more action, please click any picture to enlarge:



Kredit gambar:

Cikgu Ackley
Cikgu Adela
Cikgu Floriza
Ustazah Haida
Cikgu Junainah