Sunday 23 September 2018

RIANG RIA UPSR SK DATONG, TAHUN 2018

Seluruh warga Sk Datong ingin mengucapkan selamat menduduki UPSR 2018 kepada  murid-murid Tahun 6 sekolah ini. Kami mengharapkan dan mendoakan yang terbaik untuk anak-anak didik semua. Ayo... Anda boleh melakukannya!!!


PERSIAPAN DEWAN PEPERIKSAAN (17-21 September 2018)

Bagi menghadapi UPSR pada tahun ini, pihak Sk Datong sekali lagi telah bertungkus-lumus untuk menyediakan segala keperluan yang diperlukan bagi memastikan peperiksaan ini dapat dilaksanakan dengan baik di pusat ini. Dalam pada itu, Cikgu Adela, Setiausaha Peperiksaan, bersama para guru yang lain telah pun membuat persiapan dewan peperiksaan yang lengkap mengikut SOP ketika menerima lawatan pengawas UPSR pada 21 September 2018. 

Notis-notis  pemberitahuan yang diperlukan telah selesai dipaparkan di tempat-tempat yang sewajarnya.






Pengawas UPSR bagi pusat ini sedang meninjau keadaan dewan peperiksaan.


Diharapkan agar pelaksanaan UPSR di pusat ini dapat dijalankan dengan baik dan lancar. Selamat bertugas kepada semua petugas, selamat berjaya kepada calon-calon UPSR Sk Datong 2018.


CHECK-IN MURID-MURID TAHUN 6 (23 September 2018 ; Ahad)

Seperti tahun-tahun sebelumnya, calon-calon UPSR sekolah ini dikehendaki untuk menginap di sekolah sepanjang minggu peperiksaan sebagai langkah keselamatan, selain memudahkan penyelarasan pergerakan murid khususnya mereka yang tinggal jauh dari sekolah. Oleh itu, pihak sekolah dengan kerjasama PIBG telah menyediakan penginapan kepada calon-calon UPSR. AJK khas telah dibentuk bagi memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa terpelihara sepanjang minggu peperiksaan berlangsung. Kelas-kelas khas dijalankan bagi tujuan merperkukuh persiapan murid menduduki peperiksaan.


Makan malam calon-calon UPSR Sk Datong disediakan oleh para guru dan AKP yang mahir dalam penyajian makanan


PENYERAHAN SLIP MENDUDUKI PEPERIKSAAN (ISNIN : 24 September 2018)

Slip peperiksaan diserahkan kepada para calon oleh oleh guru kelas mereka sendiri iaitu Cikgu Rosainie Majin. Di kesempatan itu, murid-murid sekali lagi diberikan kata-kata motivasi dan dorongan oleh para guru agar dapat menjawab soalan peperiksaan dengan tenang.

Cikgu Rosainie menyerahkan slip peperiksaan kepada para calon UPSR


Wira UPSR Sk Datong 2018


Wirawati UPSR Sk Datong 2018



Gambar semangat Cikgu Tinuriah bersama dengan calon-calon UPSR



Cikgu Ackley singgah sebentar untuk memberi kata-kata semangat kepada calon-calon UPSR Sk Datong sebelum bertolak ke sekolah lain bagi menjalankan tugas sebagai Pengawas UPSR


Cikgu Nazrin komited memastikan semua anak muridnya bersedia untuk menghadapi kertas peperiksaan Bahasa Inggeris


RIANG RIA PASCA UPSR (KHAMIS : 27 September 2018)

Bagi meraihkan usaha dan perjuangan calon-calon UPSR selama empat hari, pihak sekolah telah menganjurkan aktiviti khas di malam terakhir penginapan mereka di sekolah. Aktiviti ini lebih berbentuk santai dimana murid-murid bersama dengan para guru melibatkan diri dalam aktiviti barbeque, sambutan hari jadi dan juga berkaraoke. Pelbagai juadah enak yang disediakan oleh para guru dan AKP dapat dinikmati pada malam tersebut. Gelak tawa dan senyuman manis terpancar  di raut wajah setiap yang hadir.


Persediaan tempat


Adik Hasmal menunjukkan kemahiran beliau dalam bidang reka cipta



Cikgu Nazrin membongkar rahsia kepantasan menghidupkan api


AJK Arang tetap dan berpencen, cemerlang mejalankan tugasannya.



Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Team lelaki bekerjasama memuatkan semula motosikal Cikgu Ackley ke dalam trak keretanya setelah selesai menjalankan tugasan sebagai Pengawas UPSR



Ais krim kon perisa coklat dan vanilla menjadi syarat Team bawang untuk menyediakan juadah makan malam yang lazat 



20 tahun akan datang, mandi beramai-ramai mungkin akan menjadi kenangan yang amat berharga buat mereka.

Acara yang paling dinanti-nantikan, acara makan, nyumm nyummmm....


Sinaran mata yang terpancar dari mata Cikgu Floriza menjelaskan keenakan juadah pada malam tersebut.



Sambil menikmati juadah, sambil berhibur dendangan lagu daripada murid dan guru


Syabas diucapkan kepada warga Sk Datong atas kerjasama menjayakan perkampungan UPSR pada tahun ini. Sama-sama kita mendoakan agar murid-murid ini beroleh kejayaan dan kebahagiaan dalam hidup mereka, seterusnya menjadi insan yang berakhlak mulia serta mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Friday 14 September 2018

KEJOHANAN BOLA SEPAK SK DATONG, 2018



Pada 5 September 2018 yang lalu, Sk Datong telah menganjurkan Kejohanan Bola Sepak yang melibatkan para guru, murid-murid, staff sokongan, petugas pembersihan dan juga petugas keselamatan. Selain mencungkil bakat murid dalam permainan bola sepak, penganjuran program ini juga bertujuan untuk mengeratkan ikatan silaturahim dalam kalangan warga Sk Datong. 

Terdapat lima kumpulan yang telah menyertai kejohanan ini. Semua perlawanan yang berlangsung pada  2.00 petang sehingga jam 5.00 petang telah dijalankan bertempat di padang sekolah. Permukaan padang sekolah yang agak berbonggol dan diliputi dengan tanah merah berbatu sedikit sebanyak mempengaruhi corak permainan para pemain. Meskipun begitu, kesungguhan dan semangat  setiap pemain dapat dilihat sepanjang kejohanan ini melalui komitmen serta aksi-aksi yang  menarik dipamerkan oleh para pemain.

Senarai nama ahli kumpulan yang bertanding.

Cikgu Floriza dan Cikgu Junainah sedang mengatur strategi permainan.


Antara aksi yang dapat dilihat sepanjang kejohanan.


Warga Sk Datong sedang menyaksikan perlawanan.
Sepakan percuma yang sempat dilakukan di saat hujan mula turun.


Ekoran daripada hujan lebat yang turun menjelang pertengahan perlawanan kedua, perlawanan terpaksa dihentikan sebentar. Memandangkan permukaan padang agak berlumpur dan licin, maka perlawanan terpaksa ditunda di lain hari atas faktor keselamatan. 


Pasukan Koruk FC rela dihujani.


Cikgu Nazrin dan Ustazah Haida sempat beraksi di hadapan kamera walaupun hujan sudah mula turun.


Para pemain berteduh sambil mengharapkan hujan berhenti segera agar permainan dapat diteruskan.


Sebahagian murid yang menikmati  air hujan setelah hampir sebulan bumi Datong tidak menerima  sebarang hujan.

Kejohanan ini telah disambung semula pada minggu berikutnya iaitu pada 12 September 2018. Permukaan padang yang kering membuatkan kejohanan dapat dijalankan dengan lebih lancar. Aksi-aksi yang lebih menarik dapat dilihat sepanjang kejohanan berlangsung. 


Adik Mohd Nizam yang lebih selesa berkaki ayam sering melakukan gerakan  merbahaya sepanjang kejohanan.



clearance oleh Cikgu Floriza berjaya menyelamatkan pasukannya daripada situasi bahaya.

Sepakan percuma yang cukup bertenaga oleh En Samin hampir menggegarkan gawang gol pasukan lawan.


Tandukan bola ke bawah oleh Cikgu Ackley untuk mengeluarkan bola dari situasi merbahaya.

Murid-murid cuba menghalang larian Cikgu Rosainie.

Centre Back, Cik Maslinah beraksi cemerlang sebagai Last Defend

Cikgu Kahar di usianya yang menghampiri 60 masih memiliki tenaga remaja.



Terjahan Kak Ton menggagalkan serangan pihak lawan.



Sepakan penalti yang padu  oleh adik Lezron berjaya menewaskan penjaga gawang, adik Poldine.

Kejohanan ini menyaksikan Kumpulan 2 yang juga menggelar kumpulan mereka sebagai Sumanda FC muncul sebagai juara keseluruhan apabila berjaya menundukkan pesaing terdekat iaitu Kumpulan 5 (Jalak FC) yang juga Naib Johan dalam kejohanan ini. Ketinggalan sedikit mata di belakang Jalak FC,  Kumpulan 1 (Kalapia FC) terpaksa berpuas hati berada di tempat ketiga kejohanan.

Duduk di hadapan: Kumpulan 2 (Sumanda FC)
Berdiri di belakang: Kumpulan 1 (Kalapia FC)


Duduk di hadapan: Kumpulan 3 (Puntod FC)
Berdiri di belakang: Kumpulan 5 (Jalak FC)

Penyampaian hadiah buat para pemenang akan disempurnakan semasa perhimpunan mingguan  sekolah pada minggu hadapan. Akan bersambung...

Kredit gambar (No DSLR No Problem):

Cikgu Ackley
Cikgu Adela
Cikgu Rosainie
En Samin

Sunday 9 September 2018

KUIZ PERDANA PRA-UPSR





Menjelang UPSR 2018 yang bakal tiba, pada 06 September 2018, panitia-panitia bagi subjek teras telah melaksanakan Kuiz Perdana pra-UPSR yang melibatkan calon-calon UPSR Sk Datong Tahun 2018. Kuiz Perdana ini dijalankan  sebagai sebahagian daripada inisiatif pihak sekolah untuk memberi  galakan kepada murid-murid agar dapat mengulangkaji serta mengimbas kembali topik-topik yang mereka telah pelajari selama ini bagi mempersiapkan diri menghadapi UPSR yang tidak lama lagi.

Seramai 17 Calon UPSR terlibat dalam program ini. Program ini telah dijalankan bertempat di Kelas Tahun 4 yang mana murid-murid Tahun 4 dan Tahun 5 telah menjadi saksi dan penonton sepanjang program ini. Program yang dijalankan seawal jam 8.30 pagi ini dimulakan dengan taklimat kepada para peserta, diteruskan dengan  Kuiz Bahasa Melayu dan juga Kuiz Bahasa Inggeris. Selepas berehat selama 30 minit, pada jam 10.50 pagi, program ini diteruskan pula dengan Kuiz Matematik dan Kuiz Sains. 


Para peserta Kuiz Perdana disusun mengikut kumpulan di mana markah terbaik individu dan juga berkumpulan akan diambilkira


Antara reaksi muka  para peserta yang dapat dilihat  sepanjang program dijalankan.


Cikgu Henry Masampai (paling kanan) dan Cikgu Kahar Utu Utu (paling kiri) menyaksikan pertandingan ini dijalankan bersama-sama dengan murid Tahun 4 dan Tahun 5.



Cikgu Rosainie (kedua dari kiri)  duduk menyaksikan pertandingan kuiz setelah selesai menyelesaikan tugasannya di meja urusetia.



Para penonton berebut-berebut untuk menjawab soalan kuiz terbuka yang diajukan secara berkala buat mereka sepanjang program dijalankan. 





Sebahagian daripada penerima hadiah untuk kategori kuiz terbuka yang dibuat secara berkala sepanjang program dilaksanakan.


Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan sendiri oleh En Henry Masampai, Guru Besar Sk Datong, diiringi oleh En Jim Mono, PK HEM Sk Datong. Program Kuiz Perdana ini telah berakhir pada jam 1.20 tengahari.


Dari kiri: En. Jim Mono (PK Hem),  En Henry Masampai (Guru Besar), Ustaz Akhmal Yahya  (Guru), En Abd Kahar Utu Utu (Guru)

Johan Pertandingan Kuiz Perdana Tahun 6
(Kumpulan 2: Fezrol, Liviosuensuen, Aleeza, Audrey
)

Naib Johan Pertandingan Kuiz Perdana Tahun 6
(Kumpulan 4: Mohd Aslan, Wawavidanei, Mixalroses, Siti Rohana)

Tempat Ketiga Pertandingan Kuiz Perdana Tahun 6
(Kumpulan 3: Nor Hasrini, Mohd Hasmal, Nurul Saidatul, Daniel)

Pemenang Saguhati Pertandingan Kuiz Perdana Tahun 6
(Kumpulan 1: Mohd Zarith, Poldine, Freccy, Jeslin)

Peserta Terbaik mengikut subjek
[BM: Mohd Aslan] [
MT: Daniel Berni] [SAINS: Nurul Saidatul] [BI: Jeslin Nordin]


Pelaksanaan program ini diharapakan dapat mendatangkan manfaat dan juga impak positif kepada murid-murid Sk Datong kususnya calon-calon UPSR Tahun 2018 agar Sk Datong mampu terus mengorak langkah ke hadapan untuk menggapai cita-cita.

Syabas dan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga Sk Datong atas kerjasama yang jitu dan usaha gigih dalam menjayakan program ini.


Sila klik pada gambar berikut untuk untuk melihat liputan lebih lanjut: