SEJARAH DAN LATAR BELAKANG SEKOLAH KEBANGSAAN DATONG





 Sekolah Kebangsaan Datong adalah sempena nama Kampung Datong yang telah dibuka pada tahun 1978. Perkataan 'Datong' berasal daripada bahasa  Suluk iaitu 'peg datong-datongan' yang bererti 'tempat persinggahan'. Pada tahun 70-an, kawasan ini dijadikan tempat persinggahan penduduk dari luar untuk bertani sehinggalah ia menjadi sebuah kampung baru yang hingga kini dikenali sebagai Kampung Datong.

          Sejarah awal penubuhan sekolah ini adalah pada tahun 1999. Kesedaran pihak pemimpin tentang pentingnya pengembangan ilmu di kampung ini memberi dorongan untuk mereka mengemukakan permohonan bagi menubuhkan sebuah sekolah kepada pihak Pejabat Pendidikan Bahagian Kota Marudu

          Pada 13 Januari 2000, Kementerian Pelajaran Malaysia telah meluluskan sepenuhnya peruntukan untuk membina bangunan Sekolah Kebangsaan Datong. Pada 17 Januari 2000, sekolah ini memulakan sesi pembelajarannya dengan jumlah murid seramai lebih kurang 57 orang yang hanya dibuka dari Tahun 1 sehingga Tahun 3 sahaja. Namun begitu, sesi pembelajaran terpaksa dijalankan di balai raya Kg Datong sebagai tempat sementara kerana kerja-kerja penyiapan bangunan sekolah masih dijalankan. Tenaga pengajarnya pada waktu itu terdiri daripada En. Alishamion Bengkoh (Guru Besar Sk Bawing), En Nurbin Siajah (Guru Penolong Sk Bongkol) dan En Jim Mono (Guru Penolong Sk Mangkapon).

          Suasana pembelajaran di balai raya pada ketika itu kurang selesa memandangkan keadaan struktur bangunan tersebut yang telah uzur, keadaan bilik belajar yang sempit serta kemudahan meja dan kerusi yang serba tidak mencukupi. Sekolah ini menjalankan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2003 buat pertama kalinya. Sejak itu, sekolah ini terus membangun dari segi akademik, kokurikulum dan prasarana seiring dengan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia. Berteraskan slogan "Ilmu Budaya Hidup" diharapkan sekolah ini akan terus maju dalam usaha melahirkan generasi yang unggul.

No comments:

Post a Comment